ABBAS IBNU FIRNAS
Pengenalan
Sains dan teknologi
merupakan antara aspek yang sangat penting dalam kehidupan kita seharian. Hasil
pembangunan dalam bidang tersebut telah membuatkan dunia kian pesat membangun
berbanding puluhan tahun yang lalu. Inovasi canggih telah membuatkan kehidupan
kita semakin mudah. Lebih-lebih lagi, inovasi dalam bidang sains dan teknologi
maklumat telah menyumbang impak yang besar keatas tamadun dunia.
Sejarah telah membuktikan
bahawa tamadun Islam memberikan sumbangan yang besar kepada tamadun dunia.
Tamadun Islam telah melahirkan ribuan ulama’ yang pakar dalam pelbagai bidang
seperti falsafah, sains, politik, kesusasteraan, sains sosial, keagamaan dan
perubatan. Tambahan pula, kepakaran kaum Muslim dalam bidang ilmu pengetahuan
telah menjadi faktor utama kepada zaman kebangkitan Eropah dan menghasilkan
satu tamadun yang sangat hebat. Fakta ini juga telah dinyatakan oleh presiden
Amerika Syarikat, Barrack Obama dalam ucapan beliau di Kairo, setelah
perlantikannya menjadi presiden Amerika yang ke-44. Dalam ucapannya beliau
mengatakan bahawa :
“Sebagai salah seorang
pelajar sejarah, saya juga mengetahui bahawa tamadun dunia terhutang budi
kepada Islam. Agama Islam di tempat seperti Universiti Al-Azhar telah membawa
cahaya yang menerangi dunia selama beberapa kurun, menunjukkan jalan kepada
Eropah untuk bangkit dari Zaman Kegelapan menuju Zaman Kebangkitan. Penglibatan
masyarakat Islam juga telah membuatkan manusia menerokai ilmu algebra,
menghasilkan kompas magnet dan teori penunjuk jalan, kemahiran kita menggunakan
pen dan kertas, dan kemahiran kita tentang penyakit menular dan cara untuk
mengubatinya. Tamadun Islam juga telah memberikan kita gerbang yang megah dan
menara yang melambung tinggi, nyanyian syair dan muzik yang indah, kesenian
dalam tulisan dengan hiasan yang indah. Sepanjang sejarah, Islam telah
menunjukkan kewujudan toleransi dalam beragama dan kesamarataan bangsa.”
Kenyataan Obama
membuktikan bahawa orang Barat tidak menafikan peranan tamadun Islam sebagai
pemangkin kepada Zaman Kebangkitan Eropah dan Barat. Walau bagaimanapun, konsep
memisahkan agama dengan urusan keduniaan yang dilakukan oleh Barat menjadi dua
entiti yang berbeza telah menyimpang dari ajaran Islam. Berbeza dengan Islam
yang menjadikan agama sebagai asas dalam kemajuan tamadun.
Sejarah Awal Penciptaan Kapal Terbang
Seawal abad ke-9, seorang Muslim bernama Abbas Ibn Firnas
telah memulai kajian tentang mesin penerbangan. Ibn Firnas telah berjaya
mencipta sebuah mesin terbang yang mampu untuk membuat dirinya terbang seketika
di udara. Walaupun mengalami kecederaan yang teruk setelah percubaannya untuk
terbang, beliau berjaya menemui teori yang dinamakan “ornithopter” yang
dianggap sebagai komponen utama dalam menentukan kestabilan sesebuah mesin
penerbangan. Dengan hasil penemuan ini, tidak dapat disangkal lagi bahawa
Wright Brothers yang didakwa sebagai pencipta kapal terbang pertama hanyalah
meneruskan hasil kajian yang telah dilakukan oleh Abbas Ibn Firnas. Hakikatnya,
Abbas Ibn Firnas telah menemukan teori penerbangan seribu tahun sebelum Wright
Brothers menghasilkan kapal terbang pertama mereka. Teori “ornithopter” inilah
yang memberikan inspirasi kepada orang Barat untuk memajukan teknologi
penerbangan.
Terdapat pelbagai artifak
peninggalan tamadun yang terdahulu telah ditemui dalam bentuk lukisan yang
menunjukkan kebolehan manusia untuk terbang. Bagaimanapun, artifak tersebut
dikaitkan dengan unsur mistik, legenda dan kuasa ajaib yang tidak boleh
dilakukan oleh manusia biasa. Hasil penciptaan Abbas Ibn Firnas pada abad ke-9
telah berjaya membuktikan bahawa manusia mampu untuk terbang di udara dengan
menggunakan jubah yang mempunyai sayap seperti burung untuk menampung berat
badan manusia ketika berada di udara. Beliau mendapat ilham dan cetusan idea
setelah menghayati kemampuan burung untuk terbang di udara dengan bebas. Abbas
Ibn Firnas kemudiannya memulai kajian dengan membuat pakaian daripada sutera
dan bulu burung helang, dan memerlukan beliau untuk melompat dari tempat yang
tinggi sambil mengepakkan ‘sayapnya’. Ketika umurnya mencecah 65 tahun, beliau
telah melakukan percubaannya untuk terbang dihadapan orang ramai di sebuah
tempat bernama Jabal Al Arus. Percubaan ini membolehkan beliau untuk terbang
bebas di udara selama hampir sepuluh minit sebelum kenderaan beliau terhempas.
Lebih malang lagi, beliau telah mengalami kecederaan yang parah di bahagian
belakang dan salah satu tulang belakang beliau telah rosak. Kecederaan ini
telah membuatkan beliau tidak dapat meneruskan lagi hasil kajiannya. Kemalangan
ini disebabkan beliau tidak meletakkan alat untuk memperlahankan kelajuannya
ketika mendarat, seperti burung yang menggunakan ekornya untuk mengurangkan
kelajuan ketika hendak mendarat.
Kemudian pada abad ke-17
Masihi, seorang ahli saintis Itali bernama Giovanni Alfonso Borelli mengkaji
struktur badan burung[1].
Penulisannya telah menjadi rujukan dalam proses pembinaan kapal terbang pada
bad ke-20. Sedang pada hakikatnya, ilmuwan Islam telah pun membuat kajian
saintifik mengenai teori penerbangan burung seawal abad ke-9[2].
Dalam kajian ini, pelbagai aspek telah dilibatkan seperti bentuk sayap burung,
struktur badan, dan pelbagai jenis bulu sayap. Bagaimanapun, objektif utama
mereka melakukan kajian keatas burung pada masa itu bukanlah untuk menghasilkan
mesin penerbangan selain untuk membongkar rahsia Allah yang disebutkan dalam
ayat suci Al-Quran dalam Surah Al-Mulk ayat 19 yang bermaksud :
“Tidakkah mereka
memerhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas
mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pengasih.
Sungguh, Dia Maha Melihat segala sesuatu.”
Ayat di atas menyeru umat
manusia untuk memerhatikan burung yang terbang bebas di udara agar manusia
mampu mengambil pengajaran dan menghargai kebesaran Allah SWT. Memerhatikan
segala sesuatu yang berada di sekeliling kita dengan menggunakan akal kurniaan
Allah akan membawa kepada ilmu pengetahuan dan menunjukkan jalan untuk meneroka
ilmu yang baru. Sebagai contoh, pemahaman mengenai teori penerbangan burung dan
pergerakannya akan membuka satu cabang ilmu baru seperti kandungan udara,
penggunaan bahan besi yang ringan untuk industri penerbangan, dan pengiraan
saintifik untuk sistem penerbangan sesebuah pesawat. Semua ini adalah sumbangan
dari cetusan idea Abbas Ibn Firnas. Bagi beliau, memahami undang-undang
semulajadi melalui perantaraan Al-Quran akan membuatkan manusia berada lebih
dekat kepada Sang Penciptanya. Bermula daripada pemerhatian tentang alam semulajadi,
kajian tentang burung, yang akhirnya mendorong dirinya untuk melakukan uji kaji
secara saintifik.
Latar Belakang Abbas Ibn Firnas
Abbas Ibn Firnas atau nama
sebenarnya ialah Abu Al Qasim Abbas Ibn Firnas Ibn Wardus dilahirkan pada kurun
ke-9 Masihi di sebuah tempat bernama Ronda[3].
Ronda masa kini adalah kota pelancongan yang terletak di Malaga. Keunikan
semulajadi merupakan tarikan utama bandar ini. Ronda adalah sebuah tempat yang
berperanan sebagai pusat bandar bahagian selatan Andalusia pada zaman pemerintahan
Umayyah. Setelah kedatangan Islam di Andalusia pada tahun 711 Hijrah, banyak
pokok yang telah ditanam di sekitar kawasan kota sehingga menyebabkan kepesatan
pembangunan.
Walaupun Abbas Ibn Firnas
berasal dari Ronda, beliau akhirnya berhijrah ke Cordova bagi melanjutkan
pembelajarannya. Kecintaan beliau terhadap ilmu mendorongnya untuk meninggalkan
kampung halamannya. Selain itu, beliau juga telah menjelajah ke Iraq untuk satu
jangka masa sebelum kembali ke kampung halamannya[4].
Seperti mana yang kita sedia maklum, bahawa kota Baghdad merupakan pusat
tumpuan ilmu, seperti Dar Al Hikmah yang menempatkan puluhan bahkan ribuan
ulama Islam, pengkaji ilmu, penulis kitab, penyair, pelukis dan pencipta
pelbagai jenis kraf tangan. Di sinilah Ibn Firnas mempelajari pelbagai jenis
ilmu seperti astrologi, astronomi, kejuruteraan dan ilmu muzik. Selain berjaya
menemui teori ‘ornithopter’, beliau juga berjaya menghasilkan cawan daripada
pasir. Pencapaian lainnya yang turut membanggakan umat Islam ialah dengan menghasilkan
cara memotong kaca menggunakan batu. Hal ini membuktikan bahawa manusia tidak
semestinya memiliki hanya satu kemahiran, tetapi mungkin juga memiliki
kemahiran lainnya.
Abbas Ibn Firnas juga
dikenali sebagai seorang penyair yang hebat, akan tetapi penemuan beliau dalam
bidang penerbangan telah membuatnya menjadi legenda dan tokoh terkenal. Jubah
terbang beliau merupakan hasil penciptaan manusia pertama yang mampu untuk
menerbangkan manusia di udara. Sebahagian besar ahli sejarah mengatakan bahawa
beliau telah meninggal pada tahun 887 Hijrah di bawah pemerintahan Al Mundhir.
takbir!!!!
ReplyDeleteAllahu Akbar
ReplyDelete