Saturday, 1 February 2014

Berzanji dan Qasidah

Berzanji dan Qasidah

Berzanji

Berzanji ialah upacara yang sering dikaitkan dengan unsur keagamaan terutama bagi mereka yang kurang mendalami ilmu agama, khususnya masyarakat yang mendiami kampung-kampung yang kurang terdedah dengan ilmu dan sumber maklumat yang tepat. Ketahuilah bahawa isi kandungan berzanji bukanlah petikan doa-doa dari ayat Al-Quran, jauh sekali kata-kata dari mutiara Hadith. Ianya merupakan untaian syair yang menceritakan tentang kebesaran dan kisah kehidupan Nabi Muhammad SAW. Malah sebahagian masyarakat yang sering kali mengadakan upacara berzanji bukanlah atas dasar pengetahuan yang utuh melainkan hanya mengikut budaya orang lain semata, tanpa rasa ingin mencari tahu sama ada ianya bertunjangkan Al-Quran dan Hadith.
            Pengertian berzanji ialah sebuah kitab yang mengandungi koleksi syair karya penyair Abu Jaafar Al Barzanji yang berasal dari negeri Barzanj. Membaca kitab ini tidak ada salahnya, hatta membaca kitab Veda orang hindu atau kitab agama Kristian sekarang. Ia menjadi bersalah apabila mengamalkan ajaran yang bersalah tersebut. Kumpulan sajak puji-pujian yang melampau keatas Rasulullah SAW tidak diketahui dari mana sumbernya. Hal ini dapat difahami kerana Abu Jaafar adalah seorang penyair yang sebelum memeluk Islam adalah penganut Kristian yang sangat mengagungkan Nabi Isa AS. Kitab berzanji bercampur baur dengan kata-kata yang mendewakan Rasulullah SAW sehingga menaikkan taraf Baginda ke tahap yang sama tinggi dengan Allah SWT. Antara petikan syair dalam kitab berzanji ialah :

1 ) “Salam sejahtera ke atasmu wahai penghapus dosa, salam sejahtera untukmu wahai tempat bernaung dan meminta”.
2 ) “ Salam ke atasmu wahai tempat memohon segala hajat”.
3 ) “ Salam ke atasmu wahai penghapus bencana”.

            Berdasarkan beberapa petikan syair yang diambil daripada kitab berzanji, kita dapati Abu Jaafar telah meletakkan Rasulullah SAW ke suatu tahap yang tidak sepatutnya. Hanya Allah SWT yang mampu mengahpuskan dosa hambanya dan kepada-Nya jua lah kita meminta. Nabi Muhammad tidak lain hanyalah sebagai utusan Allah yang menyampaikan risalah dan kebenaran.

Qasidah

            Salah satu hiburan yang terdapat dalam Islam adalah qasidah. Ramai yang beranggapan bahawa qasidah dan nasyid adalah sama. Akan tetapi, qasidah dan nasyid adalah dua hiburan yang berbeza. Sememangnya qasidah tidak seperti nasyid. Terdapat sebahagian nasyid yang apabila dinyanyikan akan membuatkan pendengarnya merasa lalai dek alunan irama dan liriknya yang berkisar tentang cinta sesama manusia. Berbeza dengan qasidah yang mana di permulaannya diawali dengan selawat keatas Nabi Muhammad SAW yang tentunya akan membuatkan pendengarnya merasai keindahan qasidan berbanding nasyid.
           
            Qasidah adalah puji-pujian terhadap Allah SWT mahupun Rasulullah SAW. Qasidah adalah salah satu cara sufi menzahirkan rasa rindu mereka ke atas Allah SWT, Rasulullah SAW, para sahabat Nabi dan wali-wali Allah. Ramai penulis Arab yang berpendapat bahawa orang pertama yang menulis qasidah adalah Al Muhalhal bin Rabiah At Tuglabi yang hidup beberapa tahun sebelum kelahiran Nabi. Qasidah kemudiannya semakin berkembang ketika para penyair pra-Islam seperti Umru al Qais, Alqamah dan Ubaid menulis qasidah dan membacakannya di hadapan Kaabah. Bahkan ada sebahagian qasidah yang ditulis oleh Umru al Qais digantung di dinding Kaabah. Setelah kedatangan Islam, seni qasidah semakin berkembang dengan kesyukuran dan puji-pujian keatas Allah dan Rasulullah.
            Seni qasidah mencapai kemuncaknya pada zaman pemerintahan Abbasiyah apabila para penyair Islam seperti al Mutanabbi tidak hanya mencipta syair qasidah, malah mengembangkan ilmu kaedah penulisan qasidah yaitu ilm Arudh. Kemudian pada zaman Mamluk, seorang penyair bernama al Busyiri telah mengarang himpunan qasidah yang dikenali sebagi qasidah burdah. Qasidah ini memuatkan pujian terhadap Nabi Muhammad SAW. Penulisan syair lagu qasidah yang popular di kalangan masyarakat Malaysia dan Indonesia dipengaruhi oleh kitab yang ditulis oleh al Busyiri.

TOKOH ISLAM : Abbas Ibnu Firnas

ABBAS IBNU FIRNAS 

Pengenalan

            Sains dan teknologi merupakan antara aspek yang sangat penting dalam kehidupan kita seharian. Hasil pembangunan dalam bidang tersebut telah membuatkan dunia kian pesat membangun berbanding puluhan tahun yang lalu. Inovasi canggih telah membuatkan kehidupan kita semakin mudah. Lebih-lebih lagi, inovasi dalam bidang sains dan teknologi maklumat telah menyumbang impak yang besar keatas tamadun dunia.
            Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Islam memberikan sumbangan yang besar kepada tamadun dunia. Tamadun Islam telah melahirkan ribuan ulama’ yang pakar dalam pelbagai bidang seperti falsafah, sains, politik, kesusasteraan, sains sosial, keagamaan dan perubatan. Tambahan pula, kepakaran kaum Muslim dalam bidang ilmu pengetahuan telah menjadi faktor utama kepada zaman kebangkitan Eropah dan menghasilkan satu tamadun yang sangat hebat. Fakta ini juga telah dinyatakan oleh presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dalam ucapan beliau di Kairo, setelah perlantikannya menjadi presiden Amerika yang ke-44. Dalam ucapannya beliau mengatakan bahawa :
            “Sebagai salah seorang pelajar sejarah, saya juga mengetahui bahawa tamadun dunia terhutang budi kepada Islam. Agama Islam di tempat seperti Universiti Al-Azhar telah membawa cahaya yang menerangi dunia selama beberapa kurun, menunjukkan jalan kepada Eropah untuk bangkit dari Zaman Kegelapan menuju Zaman Kebangkitan. Penglibatan masyarakat Islam juga telah membuatkan manusia menerokai ilmu algebra, menghasilkan kompas magnet dan teori penunjuk jalan, kemahiran kita menggunakan pen dan kertas, dan kemahiran kita tentang penyakit menular dan cara untuk mengubatinya. Tamadun Islam juga telah memberikan kita gerbang yang megah dan menara yang melambung tinggi, nyanyian syair dan muzik yang indah, kesenian dalam tulisan dengan hiasan yang indah. Sepanjang sejarah, Islam telah menunjukkan kewujudan toleransi dalam beragama dan kesamarataan bangsa.”
            Kenyataan Obama membuktikan bahawa orang Barat tidak menafikan peranan tamadun Islam sebagai pemangkin kepada Zaman Kebangkitan Eropah dan Barat. Walau bagaimanapun, konsep memisahkan agama dengan urusan keduniaan yang dilakukan oleh Barat menjadi dua entiti yang berbeza telah menyimpang dari ajaran Islam. Berbeza dengan Islam yang menjadikan agama sebagai asas dalam kemajuan tamadun.

Sejarah Awal Penciptaan Kapal Terbang

Seawal abad ke-9, seorang Muslim bernama Abbas Ibn Firnas telah memulai kajian tentang mesin penerbangan. Ibn Firnas telah berjaya mencipta sebuah mesin terbang yang mampu untuk membuat dirinya terbang seketika di udara. Walaupun mengalami kecederaan yang teruk setelah percubaannya untuk terbang, beliau berjaya menemui teori yang dinamakan “ornithopter” yang dianggap sebagai komponen utama dalam menentukan kestabilan sesebuah mesin penerbangan. Dengan hasil penemuan ini, tidak dapat disangkal lagi bahawa Wright Brothers yang didakwa sebagai pencipta kapal terbang pertama hanyalah meneruskan hasil kajian yang telah dilakukan oleh Abbas Ibn Firnas. Hakikatnya, Abbas Ibn Firnas telah menemukan teori penerbangan seribu tahun sebelum Wright Brothers menghasilkan kapal terbang pertama mereka. Teori “ornithopter” inilah yang memberikan inspirasi kepada orang Barat untuk memajukan teknologi penerbangan.
            Terdapat pelbagai artifak peninggalan tamadun yang terdahulu telah ditemui dalam bentuk lukisan yang menunjukkan kebolehan manusia untuk terbang. Bagaimanapun, artifak tersebut dikaitkan dengan unsur mistik, legenda dan kuasa ajaib yang tidak boleh dilakukan oleh manusia biasa. Hasil penciptaan Abbas Ibn Firnas pada abad ke-9 telah berjaya membuktikan bahawa manusia mampu untuk terbang di udara dengan menggunakan jubah yang mempunyai sayap seperti burung untuk menampung berat badan manusia ketika berada di udara. Beliau mendapat ilham dan cetusan idea setelah menghayati kemampuan burung untuk terbang di udara dengan bebas. Abbas Ibn Firnas kemudiannya memulai kajian dengan membuat pakaian daripada sutera dan bulu burung helang, dan memerlukan beliau untuk melompat dari tempat yang tinggi sambil mengepakkan ‘sayapnya’. Ketika umurnya mencecah 65 tahun, beliau telah melakukan percubaannya untuk terbang dihadapan orang ramai di sebuah tempat bernama Jabal Al Arus. Percubaan ini membolehkan beliau untuk terbang bebas di udara selama hampir sepuluh minit sebelum kenderaan beliau terhempas. Lebih malang lagi, beliau telah mengalami kecederaan yang parah di bahagian belakang dan salah satu tulang belakang beliau telah rosak. Kecederaan ini telah membuatkan beliau tidak dapat meneruskan lagi hasil kajiannya. Kemalangan ini disebabkan beliau tidak meletakkan alat untuk memperlahankan kelajuannya ketika mendarat, seperti burung yang menggunakan ekornya untuk mengurangkan kelajuan ketika hendak mendarat.
            Kemudian pada abad ke-17 Masihi, seorang ahli saintis Itali bernama Giovanni Alfonso Borelli mengkaji struktur badan burung[1]. Penulisannya telah menjadi rujukan dalam proses pembinaan kapal terbang pada bad ke-20. Sedang pada hakikatnya, ilmuwan Islam telah pun membuat kajian saintifik mengenai teori penerbangan burung seawal abad ke-9[2]. Dalam kajian ini, pelbagai aspek telah dilibatkan seperti bentuk sayap burung, struktur badan, dan pelbagai jenis bulu sayap. Bagaimanapun, objektif utama mereka melakukan kajian keatas burung pada masa itu bukanlah untuk menghasilkan mesin penerbangan selain untuk membongkar rahsia Allah yang disebutkan dalam ayat suci Al-Quran dalam Surah Al-Mulk ayat 19 yang bermaksud :

            “Tidakkah mereka memerhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pengasih. Sungguh, Dia Maha Melihat segala sesuatu.”

            Ayat di atas menyeru umat manusia untuk memerhatikan burung yang terbang bebas di udara agar manusia mampu mengambil pengajaran dan menghargai kebesaran Allah SWT. Memerhatikan segala sesuatu yang berada di sekeliling kita dengan menggunakan akal kurniaan Allah akan membawa kepada ilmu pengetahuan dan menunjukkan jalan untuk meneroka ilmu yang baru. Sebagai contoh, pemahaman mengenai teori penerbangan burung dan pergerakannya akan membuka satu cabang ilmu baru seperti kandungan udara, penggunaan bahan besi yang ringan untuk industri penerbangan, dan pengiraan saintifik untuk sistem penerbangan sesebuah pesawat. Semua ini adalah sumbangan dari cetusan idea Abbas Ibn Firnas. Bagi beliau, memahami undang-undang semulajadi melalui perantaraan Al-Quran akan membuatkan manusia berada lebih dekat kepada Sang Penciptanya. Bermula daripada pemerhatian tentang alam semulajadi, kajian tentang burung, yang akhirnya mendorong dirinya untuk melakukan uji kaji secara saintifik.

Latar Belakang Abbas Ibn Firnas

            Abbas Ibn Firnas atau nama sebenarnya ialah Abu Al Qasim Abbas Ibn Firnas Ibn Wardus dilahirkan pada kurun ke-9 Masihi di sebuah tempat bernama Ronda[3]. Ronda masa kini adalah kota pelancongan yang terletak di Malaga. Keunikan semulajadi merupakan tarikan utama bandar ini. Ronda adalah sebuah tempat yang berperanan sebagai pusat bandar bahagian selatan Andalusia pada zaman pemerintahan Umayyah. Setelah kedatangan Islam di Andalusia pada tahun 711 Hijrah, banyak pokok yang telah ditanam di sekitar kawasan kota sehingga menyebabkan kepesatan pembangunan.
            Walaupun Abbas Ibn Firnas berasal dari Ronda, beliau akhirnya berhijrah ke Cordova bagi melanjutkan pembelajarannya. Kecintaan beliau terhadap ilmu mendorongnya untuk meninggalkan kampung halamannya. Selain itu, beliau juga telah menjelajah ke Iraq untuk satu jangka masa sebelum kembali ke kampung halamannya[4]. Seperti mana yang kita sedia maklum, bahawa kota Baghdad merupakan pusat tumpuan ilmu, seperti Dar Al Hikmah yang menempatkan puluhan bahkan ribuan ulama Islam, pengkaji ilmu, penulis kitab, penyair, pelukis dan pencipta pelbagai jenis kraf tangan. Di sinilah Ibn Firnas mempelajari pelbagai jenis ilmu seperti astrologi, astronomi, kejuruteraan dan ilmu muzik. Selain berjaya menemui teori ‘ornithopter’, beliau juga berjaya menghasilkan cawan daripada pasir. Pencapaian lainnya yang turut membanggakan umat Islam ialah dengan menghasilkan cara memotong kaca menggunakan batu. Hal ini membuktikan bahawa manusia tidak semestinya memiliki hanya satu kemahiran, tetapi mungkin juga memiliki kemahiran lainnya.
            Abbas Ibn Firnas juga dikenali sebagai seorang penyair yang hebat, akan tetapi penemuan beliau dalam bidang penerbangan telah membuatnya menjadi legenda dan tokoh terkenal. Jubah terbang beliau merupakan hasil penciptaan manusia pertama yang mampu untuk menerbangkan manusia di udara. Sebahagian besar ahli sejarah mengatakan bahawa beliau telah meninggal pada tahun 887 Hijrah di bawah pemerintahan Al Mundhir.



[1] Pulkkinsen, J, 2008
[2] Ahmed Ibn Muhammed,al-Maqari,1840.
[3] Bosworth,C.E,1986,The Encyclopedia of Islam, 1986
[4] Mahayudin Yahaya, 1986

Thursday, 30 January 2014

Seni Kaligrafi Islam (KHAT)

SENI KALIGRAFI ISLAM

Seni kaligrafi atau lebih dikenali sebagai khat merupakan salah satu cabang kesenian dalam Islam. Terdapat pelbagai jenis tulisan khat yang popular dan dikenali oleh setiap penggemar seni di seluruh dunia.


PERTAMA : Khat Kufi
Khat Kufi adalah khat yang paling tua diantara khat yang lain. Gaya ini pertama kali berkembang di Kufah,Irak yang merupakan salah satu kota penting pada zaman peradaban Islam. Diperkenalkan oleh Ibnu Muqlah, khat ini mempunyai struktur yang sangat formal dan kaku namun tetap indah dipandang mata.

KEDUA : Khat Tsuluts


Khat Tsuluts mempunyai bentuk yang fleksibel mengikut kreativiti si penulis. Kerana keindahannya, khat ini banyak dijadikan sebagai hiasan dinding, bangunan mahupun buku.

KETIGA : Khat Nasakh
Khat yang sering digunakan hingga hari ini. Khat ini adalah khat yang paling mudah untuk dibaca dan digunakan untuk menulis Al-Quran dan buku-buku agama.

KEEMPAT : Khat Riq'ah


Khat Riq'ah merupakan hasil pengembangan (upgrade) daripada Khat Nasakh. Khat ini juga mudah dan ringkas untuk ditulis tanpa sebarang hiasan yang berat.

KELIMA : Khat Diwani
Khat ini diperkenalkan oleh Ibrahim Munif yang kemudiannya disempurnakan oleh Syeikh Hamdullah. Pada awalnya, khat ini digunakan sebagai pembukaan (heading) surat rasmi kerajaan. Gaya khat ini bergantung pada kreativiti seseorang kaligrafer.