GOLONGAN ANTI HADIS
Pada masa kini, terdapat banyak ideologi
pemikiran yang cuba menghancurkan keharmonian dan kesucian aqidah Islam. Hal
yang sama telah dilakukan oleh satu golongan yang menggelarkan diri mereka
sebagai Jemaah Al-Quran Malaysia (JAM). Golongan ini juga dikenali sebagai
golongan Anti Hadis, sesuai dengan fahaman ideologi mereka yang menolak hadis
sebagai sumber perundangan kedua dalam Islam selepas Al-Quran.
Di
Malaysia, golongan Anti Hadis dipelopori oleh Kassim Ahmad yang mengikuti fahaman
Dr. Rashad Khalifa. Beliau mula bergiat aktif dalam bidang penulisan semenjak
tahun 1984. Selain penulisan buku, golongan ini juga menyebarkan fahaman mereka
melalui forum, ceramah, internet, diskusi dan penulisan artikel.
Kassim Ahmad pernah bergiat aktif dalam bidang
politik selama 18 tahun. Akan tetapi, pada tahun 1984 beliau menukar haluan
dengan memberikan sepenuh tumpuan pada bidang penulisan. Pemikiran beliau yang
menolak hadis sebagai sumber perundangan Islam dituliskan dalam beberapa karyanya
seperti buku Hadis: Satu Penilaian Semula, Hadis: Jawapan Kepada
Pengkritik dan Dilema Umat Islam: Antara Hadis dan Al-Quran. Kesemua
buku-buku ini telah diwartakan haram oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia kerana
dianggap bercanggah dengan akidah Islam yang sebenar.
Jika
dikaji dengan teliti, Kassim Ahmad bukanlah seorang ilmuwan Islam, akan tetapi
cuba untuk membahaskan isu aqidah Islam berpandukan akal dan kaedah saintifik.
Beliau medakwa bahawa hanya Al-Quran yang layak untuk dijadikan rujukan utama dalam
Islam, sedang tugas Nabi hanya sebagai utusan yang menyampaikan risalah
tersebut. Selain menolak hadis, beliau juga mengutarakan pemikirannya yang
jelas bercanggah dengan akidah Islam seperti menolak kalimah syahadah,
memansuhkan kewajipan solat dan pelbagai lagi pemikiran yang jelas bercanggah
dengan ajaran Islam yang sebenar.
Akibat terpengaruh dengan buku-buku tulisan
Dr. Rashad Khalifa, beliau telah bertindak untuk menyebarkan ideologi
pemikirannya melalui penulisan buku-buku seperti Hadis: Satu Penilaian
Semula, Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik dan Dilema Umat Islam:
Antara Hadis dan Al-Quran. Tidak cukup dengan itu, beliau juga menulis
beberapa buah artikel di dalam ruangan Berani Kerana Benar dalam akhbar Watan.
Golongan Anti Hadis cukup berani dalam menyebarkan ideologi pemikiran mereka
dalam bentuk forum, diskusi, media cetak, ceramah dan sebagainya.
Hal
ini mengundang pelbagai respon di kalangan masyarakat, ada yang menyokong dan
tidak kurang juga yang membantah. Persoalan yang timbul akibat daripada
munculnya satu ideologi baru ini khususnya di Malaysia adalah, kenapa harus
meragui kedudukan hadis dalam sistem perundangan Islam sedangkan hadis
merupakan sesuatu yang wajib dipercayai? Jawapannya adalah sangat mudah. Hal
ini disebabkan Kassim Ahmad tidak mempunyai ilmu dan kelayakan dalam membincangkan
persoalan agama. Beliau bukanlah seorang ilmuwan Islam dan tidak pernah
mendapat pendidikan formal dari mana-mana universiti tempatan atau luaran. Dan
apabila seseorang yang tidak memiliki ilmu pengetahuan cuba untuk menghuraikan
dan mengutarakan sesuatu pemikiran, maka inilah yang akan terjadi; pemikiran
yang sesat namun tidak pernah mengakui kesesatan yang dilakukan.
Buku
Hadis: Satu Penilaian Semula yang diterbitkan pada tahun 1986 telah
diharamkan oleh pihak berkuasa pada tahun yang sama. Maka terdapatlah banyak
buku-buku yang diterbitkan bagi membahaskan kesalahan yang terdapat dalam buku
tersebut. Akan tetapi, Kassim Ahmad bertindak menerbitkan sebuah buku yang
merupakan jawapan kepada para pengkritik buku beliau yang bertajuk Hadis:
Jawapan kepada pengkritik pada tahun 1992. Namun begitu, buku ini juga
telah diharamkan oleh pihak berkuasa pada tahun 1994. Akan tetapi, usaha
pengharaman ke atas buku-buku tulisan Kassim Ahmad masih tidak mampu mematahkan
usaha mereka untuk menyebarkan fahaman ideologi mereka. Mereka menggunakan
sumber-sumber yang ada bagi meneruskan perjuangan mereka menyebarkan fahaman
yang sesat. Sebagai contoh, buku-buku tulisan Kassim Ahmad masih lagi boleh
diperolehi secara percuma melalui internet.
Antara
pemikiran yang diutarakan oleh Kassim Ahmad dalam ideologinya adalah beliau
menolak kalimah syahadah kedua, menolak selawat ke atas Nabi, memansuhkan
kewajipan solat dan menolak kepercayaan kepada qada’ dan qadar dalam rukun
iman. Beliau mengatakan bahawa perkara tersebut bercanggah dengan Al-Quran dan
ajaran Islam yang sebenar. Perkara ini sangat jelas bercanggah dengan akidah
Islam.
Kassim Ahmad bukanlah individu
pertama yang cuba untuk memesongkan aqidah umat Islam. Hakikatnya gerakan
ajaran sesat seperti nabi palsu dan sebagainya telah muncul semenjak zaman
kehidupan Rasulullah SAW. Tidak hairanlah jika seseorang yang memiliki latar
belakang pendidikan seperti Dr. Rashad Khalifa dan Dr. Yusuf Noor juga boleh
terjebak dengan isu ajaran sesat. Apatah lagi Kassim Ahmad yang sememangnya
tidak memiliki ilmu agama dan bukanlah seorang ilmuwan Islam tetapi cuba untuk
membahaskan soal akidah Islam.
No comments:
Post a Comment